Dr Mahathir Kata Bekas PM Buat Rakyat Harap Duit Percuma. Ini Jawapan Balas Najib Buat Ramai Terkedu

| August 12, 2018 | 0 Comments

Dr Mahathir Kata Bekas PM Buat Rakyat Harap Duit Percuma. Ini Jawapan Balas Najib Buat Ramai Terkedu | Baru ni viral Dr Mahathir kata bekas PM buat rakyat harap duit percuma. Ini jawapan balas mengejutkan Najib buat ramai terkedu. Tak sangka.

NAJIB – DR MAHATHIR TAK MAHU TINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT

Selepas PRU14, Perdana Menteri Tun Mahathir ada menyebut bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah “uneducated” (tidak berpendidikan).

Saya berpandangan yang berbeza. Saya percaya jika rakyat Malaysia diberikan penjelasan yang berasaskan fakta dan mereka terbuka hati dan minda untuk mendengar, rakyat Malaysia pasti akan memahami dengan baik.

Melihat kepada komen-komen di posting saya semalam mengenai gaji minima, ada beberapa yang percayakan alasan perdana menteri bahawa Malaysia menghadapi krisis hutang hingga menyebabkan kerajaan tidak mampu menaikkan gaji penjawat awam dan sekali gus gagal menunaikan janji gaji minima – walaupun saya telah buktikan bahawa Tun Mahathir sememangnya percaya gaji yang tinggi akan menjadikan Malaysia kurang menarik untuk pelabur asing.

Hari ini, Tun Mahathir membuat kenyataan baru bahawa saya suka memberi wang percuma kepada rakyat, tetapi kini kerajaan tidak lagi mampu berbuat demikian kerana perlu “tutup” hutang-hutang dari kerajaan yang lalu.

“Tutup hutang” bukannya sebab utama kenapa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kini tidak lagi mampu menolong rakyat.

Hutang kerajaan pada tahap 50.8 peratus kepada KDNK bukan dianggap tinggi jika dibanding dengan tahap 80 peratus hingga 103.4 peratus pada era Tun Mahathir menjadi perdana menteri dahulu.

Nisbah perbelanjaan hutang kerajaan berbanding hasil kerajaan (Debt Service Charge) pada tahap 12.5 peratus tahun lepas juga tidak setinggi eranya dahulu pada 1980an dan 1990an, iaitu di antara 20 peratus ke 30 peratus malah, ia pernah mencecah setinggi 31.8 peratus.

Defisit kerajaan tahunan pada era saya juga menurun setiap tahun sejak tahun 2009 dan jauh lebih rendah dari defisit 6 tahun terakhir Tun Mahathir menjadi perdana menteri dahulu.

Hutang patut dilihat bersama dengan peningkatan pendapatan dan aset negara yang naik dengan pesat (seperti yang saya jelaskan dalam FB saya beberapa minggu dahulu) ketika saya menjadi perdana menteri .

Oleh itu, tiada satu pun agensi kewangan luar negara yang menyifatkan Malaysia dalam kelompok bahaya, malah kita mendapat pengiktirafan gred A.

Selain daripada pendirian peribadi Tun Mahathir yang tidak suka menaikkan pendapatan rakyat, berikut saya gariskan antara sebab-sebab mengapa kerajaan HARAPAN tidak mampu memberi kenaikan gaji.

Penelitian saya dari laporan di laman BNM terkini menunjukkan walaupun harga minyak global masih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, pendapatan kerajaan untuk bulan Jun 2018 adalah RM14.1 billion – jauh lebih rendah dari RM20.9 bilion pada bulan Mei 2018 akibat GST disifarkan.

Peningkatan Mendadak Tuntutan Balik GST

Keadaan bertambah teruk kerana kerajaan HARAPAN juga tidak menjangkakan peningkatan mendadak tuntutan balik GST yang perlu dibayar sebaik ia disifarkan kerana peniaga kini boleh menuntut kesemua cukai input GST bahan mentah mereka serta merta – sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

HARAPAN mula mendakwa kerajaan yang lalu bakal bankrap sejak tahun 2010. Pada tahun itulah, menteri kewangan kini juga pernah berucap kepada media antarabangsa di Hong Kong bahawa Malaysia bakal bankrap.

Walaupun HARAPAN sudah lama mendakwa Malaysia bakal bankrap, kerajaan BN yang lalu memperkenalkan banyak skim-skim bantuan rakyat.

Malahan bantuan-bantuan tersebut juga dinaikkan apabila pendapatan kerajaan naik. BR1M diperkenalkan pada kadar RM500 setahun dan terus dinaikkan setiap tahun sehingga RM1,200 tahun lepas dan RM2,000 tahun ini.

Jumlah rakyat yang layak menerima BR1M juga diperluaskan. Baucer buku juga sering dinaikkan, malah gaji penjawat awam turut sering dinaikkan dan lain-lain lagi.

Ia adalah kerana pertumbuhan ekonomi masih pesat dan kita telah perkenalkan sistem cukai yang lebih effektif dan telus.

Sebagai contoh, GST berjaya mengutip RM27 bilion pada tahun 2015 dan meningkat kepada RM44 billion tahun lepas.

Oleh kerana kadar GST tetap pada 6 PERATUS – antara terendah di dunia, peningkatan kutipan ini ialah kerana ekonomi dan pendapatan rakyat semakin meningkat. Bila rakyat ada pendapatan yang lebih, kemampuan untuk belanja juga meningkat.

Orang Kaya Tak Dapat Lari Dari Cukai

Di bawah GST, ahli perniagaaan kaya dan ekonomi gelap tidak lagi dapat mengelak dan melarikan diri dari cukai atau terlibat dalam pengeluaran kapital dari Malaysia secara haram seperti yang mereka lakukan di bawah SST.

Pada masa yang sama, kita telah berjaya mengutip banyak wang dari orang kaya yang berbelanja lebih di bawah GST berbanding dengan orang miskin kerana terdapat banyak pengecualian. Kerana itulah kutipan GST lebih berbanding SST.

Oleh kerana pendapatan kerajaan meningkat, maka kita pulangkan kembali untuk menolong rakyat yang memerlukan.

Ia bukan wang percuma, namun jika tindakan saya mengagihkan wang dari ekonomi gelap, golongan kaya dan yang mengelak cukai untuk menolong rakyat yang memerlukan adalah suatu perbuatan haram, maka saya sudah berdosa. (Sumber: Malaysiakini)

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , ,

Category: Berita Semasa

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *