“Kalau Doktor Bagi ICE, Saya Akan Serah Pisau.” Lega Penculik Mahu Serah Pisau RUPANYA Penculik….

| September 14, 2016 | 0 Comments

“Kalau Doktor Bagi ICE, Saya Akan Serah Pisau.” Lega Penculik Mahu Serah Pisau RUPANYA Penculik…. | Cerita ini adalah berasaskan kisah benar yang berlaku beberapa tahun lalu apabila seorang budak perempuan berusia 12 tahun diculik oleh seorang penagih dadah yang tidak berpakaian di rumahnya sendiri.

culi

Doktor Vs Penculik

Aku baru sahaja memulakan tugas atas panggilan pada hujung minggu di Jabatan Kecemasan apabila tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari polis. “Kami perlukan doktor untuk bercakap dengan penculik” suara di hujung gagang kedengaran.

Dahiku berkerut dan aku cuba memahami dan meminta pemanggil menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. “Begini doktor. Ada seorang penagih dadah masuk dalam sebuah rumah di sini. Bila dia masuk, keluarga tuan rumah sedang menonton TV. Terus sahaja dia capai sebilah pisau lalu mengheret anak tuan rumah yang berusia 12 tahun masuk ke dalam bilik di rumah itu. Bilik dikunci. Dia mengancam untuk menikam budak tersebut kalau sesiapa cuba masuk ke bilik. Doktor, kami lihat, dia tidak berpakaian. Pegawai ‘negotiator’ polis sudah 3 jam berdialog dengan penculik. Tapi sampai sekarang tidak berhasil. Kami bimbang apa-apa terjadi kepada budak tu.”

Sekarang barulah aku faham. Aku memberitahu pemanggil, “Macam ni, saya akan bercakap dengan pakar sakit jiwa dan minta bantuan mereka. Mereka lebih cekap bercakap dan mungkin itu yang terbaik.”

Pemanggil bersetuju, cuma meminta aku secepat mungkin datang ke tempat kejadian. Mereka amat bimbang yang sedikit masa lagi, penculik tersebut akan menikam budak itu. Aku segera mendapatkan nombar telefon pakar psikiatri yang bertugas pada pagi itu.

Alhamdulillah, pakar tersebut bersetuju untuk datang cuma katanya dia masih berada di rumah dan memerlukan kira-kira 1 jam lagi untuk tiba ke hospital. Aku meminta kebenarannya untuk membawa pegawai perubatan psikiatri yang bertugas atas panggilan ke tempat kejadian sementara menunggu beliau tiba untuk tidak melengahkan masa. Beliau bersetuju.

1

‘Bergerak Ke Tempat Kejadian’

Bersama Dr Prem, aku menyertai unit ‘Medical Response Vehicle’ – sebuah kenderaan pacuan 4 roda kegunaan Jabatan untuk situasi bencana dan pergi ke tempat kejadian di Kampung Baru Kuala Lumpur. Apabila menghampiri tempat insiden, Dr Prem menerima panggilan dari Ketua Jabatan beliau.

Dia kemudiannya memberitahuku, “I am sorry doctor. My head told me this is not our jurisdiction. I have to go back.” Nampaknya, tugas negosiasi dengan penculik di tempat kejadian bukanlah tugas hakiki hatta doktor psikiatri pun.

Mungkin ada logiknya juga kerana jika tidak kena gaya, pegawai perubatan tersebut boleh disabitkan dengan isu-isu medikolegal. Tambahan pula dia tidak dilatih untuk situasi sebegini. Aku menghormati keputusan tersebut lalu memberitahunya bahawa tidak mengapa, aku akan minta MRV membawanya kembali ke hospital.

2

‘Tempat Insiden’

Aku turun dari kenderaan MRV dan menghampiri rumah di mana insiden berlaku. Terdapat ramai orang di luar rumah. Kawasan kejadian adalah perkampungan ibukota. Polis bersama kumpulan penembak sasaran tepat semuanya sudah bersedia di situ. Ibu, bapa dan keluarga berada di luar rumah.

Terdapat sebuah ambulans dari hospitalku bersedia di situ. Aku menemui polis dan diberi sedikit penerangan tentang insiden. Aku masuk ke rumah dan melihat bilik di mana penculik dan kanak-kanak perempuan itu dikurung.

Sebuah bilik dengan pintu tertutup. Ada tingkap nako yang ditutup. Pintu bilik dhadang dengan almari yang diletakkan di belakangnya oleh penculik. Kesemua tingkap nako ditutup rapat.

Sebarang cubaan untuk membuka tingkap atau pintu akan disambut dengan sergahan, “Aku bunuh budak ini! Aku bunuh budah ini!”

Dalam hati, aku berasa senak dan marah yang amat sangat. Benar, aku tidak pernah dilatiih untuk insiden sebegini. Tetapi satu yang aku pasti, aku tidak akan meninggalkan rumah ini sehingga budak tersebut selamat.

Aku dilanda ketakutan di benak hati yang amat sangat. Aku terbayangkan bagaimana aku boleh tidur lena selepas ini jika kanak-kanak tersebut dibunuh oleh penagih tersebut ketika aku hanya beberapa meter dari mereka di luar bilik tersebut.

Aku mula memikirkan beberapa strategi

‘Strategi Awal’

Aku menghampiri tingkap nako tersebut dan mula berbicara dengan penculik tersebut. Polis memberitahuku namanya ‘Rahman’. “Assalammualaikum Rahman. Saya doktor ni. Nama saya Dr Alzamani. Kita sembang-sembang boleh ya?”

Perlahan, ada suara dari dalam yang menyahut. “Ya doktor. Saya mahu air. Dahaga.”“Boleh-boleh. Nanti saya dapatkan air. Rahman saya nak tanya sikit ni. Rahman ada adik tak?” aku cuba mengail fikirannya.

Fikirku, jika aku boleh membuatnya berfikir tentang adiknya sendiri, tentu beliau akan berfikir banyak kali sebelum mengapa-apakan budak tersebut. “Ada doktor,” jawabnya ringkas.

“Rahman ingat ya. Adik kat dalam tu, macam adik kita juga. Rahman ingat tau. Rahman jaga ya adik kita?” aku mencuba dengan sehalus-halus pesanan.

Dia diam sebentar. “Doktor saya dahaga. Minta air,” dia meminta.
“Baik. Rahman lapar tak? Kita boleh dapatkan makanan. Nak makan apa? KFC atau McDonald pun saya boleh dapatkan?” aku cuba menjadikannya ‘kawan’. Aku mahu membina hubungan kepercayaan di antara dia dan aku.

Dia masih diam“Tak mengapa, saya akan dapatkan air untuk Rahman,” Aku keluar dari rumah tersebut dan berjumpa dengan pasukan ambulans.

‘Ubat Tidur Dalam Air Mineral’

Bersama petugas ambulans, kami berbincang. “Doktor, kita cucukkan ubat tidur dalam air mineral. Sebab penculik tu minta air tadi. Amacam?” Aku bersetuju. Lalu ubat midazolam sebanyak 5 miligram dicucukkan masuk ke dalam air mineral. Aku segera masuk ke dalam rumah.

“Rahman. Ini air mineral. Tapi buka tingkap ya?” TIngkap di bahagian bawah dibuka kecil, hanya muat untuk botol air itu dicampakkan ke dalam. Botol tersebut dicampak lalu jatuh ke tepi dinding. Malangnya, kesan cucukan ubat tidur di dinding botol menyebabkan air terpercik keluar.

“Ini bukan dia!” seru Rahman. Rahman bukanlah mudah diperbodohkan. Dia bijak dan mengesyaki air tersebut telah diletakkan ubat. Aku segera menenangkan beliau, “Tak apa Rahman, tak apa. Air ni orang bagi tadi. Nanti saya akan dapatkan air yang elok dan baru. Mungkin tadinya yang lama.

Aku kembali ke ambulans. Aku mengarahkan botol mineral baru diambil. Cuma kali ini aku menyuruh penolong pegawai perubatan mencucuk di bahagian celahan tudung botol. Aku kembali membawa air tersebut masuk ke dalam rumah lalu mencampakkannya masuk melalui celahan tingkap nako.’Kedekuk’ terdengar bunyi botol air tersebut mencecah ke lantai.

“Haa…ini baru yang betul!” terdengar suara Rahman. Lega rasaku. Cuma yang tinggal hanyalah untuk Rahman minum air tersebut dan tidur. Botol air kedengaran dibuka. Dari luar, aku menunggu sahaja untuk Rahman menghabiskan minuman tersebut dengan rakus bagi menghilangkan dahaga.

‘Salah Sasaran’

“Nah adik, minum air ni” Rahman memberikan air tersebut kepada budak tersebut. ‘Alamak!’ dengusku dalam hati. Rosak rancanganku. Budak tersebut minum air tersebut hingga habis. Tetapi tidak Rahman.

Aku gagal membuatkan Rahman tidur.

Aku perlu beralih ke strategi lain. Aku menhubungi Pengarah hospital. Aku menceritakan apa yang berlaku. Aku mencadangkan untuk Pengarah menghubungi Dr Aziz, pakar psikiatri yang berpengalaman dalam rundingan dengan perampas pesawat tetapi telah bersara. Dia berjaya dihubungi tetapi baru pulang berkebun. Dia memerlukan masa sekurang-kurangnya 1-2 jam untuk datang ke tempat insiden.

Aku meneruskan untuk berbual-bual dengan Rahman. Aku perlu menjadikannya ‘kawan’. Setiap 5 ke 10 minit aku bertanya, “Rahman, macam mana adik kita?” Dan Alhamdulillah, dia berkata “Dia ok”.

Kini aku beralih ke strategi berikutnya. Aku berbincang dengan polis. Polis memberitahu, dia mempunyai teman wanita. Polis sedang mendapatkan teman wanitanya untuk datang berbincang supaya dia menyerah diri.

Tidak lama kemudian, teman wanitanya tiba…..

‘Negosiasi Teman Wanita’

Teman wanitanya muda, bernama Jamilah. Kelihatan cantik. Memakai blaus dengan rambutnya berikat ekor kuda, berseluar jeans. Dia kelihatan amat bimbang dengan situasi yang berlaku.

Aku bercakap dengannya dan aku agak tersentuh apabila dia berkata bahawa dia akan bercakap dengan Rahman supaya budak perempuan itu diganti dengan dirinya sendiri.

“Rahman, apa kau buat nii…sudahlah, marilah keluar. Jangan buat begini. Marilah keluar ya. Lepaskan budak tu yaa…sian diaa!” pujuk Jamilah.

Rahman diam seketika. Kemudiannya dia bersuara, “Aku tak akan keluar. Kalau keluar aku mati. Semua polis ada di luar.”

“Tak apa Rahman. Kalau kau keluar, polis tak akan apa-apakan kau. Kesian budak tu. Macam ni, aku ganti dia. Kau ambil aku dan kau jadikan aku tebusan, ya? “ Jamilah berusaha memujuk.

Puas Jamilah meminta untuk Rahman keluar atau sekurang-kurangnya mengambil dia sebagai ganti tebusan. Tetapi Rahman tidak makan dipujuk.

Benar, tentu ada pelbagai pandangan serong terhadap teman wanita itu. Tetapi ketika itu, aku amat tersentuh menyaksikan kesungguhannya untuk mengambil tempat sebagai tebusan.

Seorang perempuan sebegitu masih mempunyai perasaan dan naluri hati yang baik. Dia benar-benar bimbangkan budak perempuan itu diapa-apakan oleh Rahman.

‘Telefon’

“Aku mahu telefon Mak dan Kakak aku di kampung,” lontar Rahman. Kau beri aku pinjam telefon, “ akhirnya Rahman meminta. Jamilah segera bersetuju. Tingkap nako dibuka sedikit dan hanya muat untuk telefon bimbit diserahkan.

Ternampak Rahman tidak berpakaian. Jauh di sudut hati, aku berasa sangat marah, lebih-lebih lagi budak perempuan itu dipegang rapat olehnya.

Kedengaran selepas itu Rahman bercakap dengan seseorang. “Kakak, ini Rahman. Minta maaf ya semua salah silap. Aku cuma mau cakap itu.” Aku pasti, Rahman bercakap dengan kakaknya.

Telefon didial lagi. “Assalammualikum Mak. Ini Rahman. Mak, minta maaf salah silap Rahman. Tak ada apa. Tak ada apa. Ok Mak, “ Rahman berbicara dengan ibunya pula.

Rahman memulangkan telefonnya kepada Jamilah. Strategi ini gagal lagi. Aku terus berbicara dengannya, “Rahman..macam mana adik kita. Adik kita ok ka?” Kataku.

Aku perlu memastikan budak perempuan itu tidak diapa-apakan dan pada masa itu, satu-satunya cara adalah dengan memastikan aku mempunyai hubungan komunikasi yang berterusan dengan Rahman.

‘Syarat Tukarganti Pisau’

Seorang anggota polis lalu disisiku dan berbisik, “Doktor, kalau doktor boleh pujuk dia untuk serahkan pisau pun dah cukup baik. Semua penembak tepat dah bersedia. Kami boleh rempuh masuk ke dalam bilik, cuma kami bimbang dia akan menikam budak tu.”

Aku faham dilema mereka. Aku mula berbicara. “Rahman, tak payahlah kita bahayakan adik kita tu. Rahman serahkan pisau tu pada saya. Rahman hendak apapun saya akan minta. Rahman laparkan? Rahman nak makan apa?” aku berusaha memujuknya.

“Baik. Kalau doktor nak saya serahkan pisau, boleh. Tetapi satu syarat. Saya mau ‘ice’. Kalau doktor bagi, saya akan serahkan pisau.”

Aku mula berbincang dengan polis. Kalau dia serahkan pisau, polis dengan mudah sudah boleh merempuh. Dadah ‘ice’ boleh diperolehi dari rampasan polis bagi kes-kes dadah.

Hari semakin lewat. Dan keresahan terhadap budak perempuan itu makin mendalam. Akhirnya kami membuat keputusan untuk ‘menukar’ satu tiub ‘ice’ dengan pisau. Kami kira, sebaik pisau diserah, rempuhan boleh dibuat tanpa membahayakan budak tersebut.

Tidak lama kemudian. Polis tiba semula dengan satu tiub ‘ice’.
“Rahman, saya sudah dapatkan ‘ice’. Ada dengan saya. Saya boleh berikan. Tetapi Rahman janji, serahkan pisau itu kepada saya.

Aku dapatkan rasakan Rahman sedang ketagihan. “Baik doktor. Saya serahkan pisau tetapi kita tukar sama-sama ok,” katanya.

Dia menguak tingkap nako itu dengan bukaan yang kecil. Dari bukaan itu, aku nampak hujung kepala pangkal pemegang pisau. Aku memegang hujungnya sambil tangan kiriku memegang tiub ‘ice’ itu.

Tangan Rahman mencapai tiub tersebut. Kami mengira bersama-sama, “satu, dua, tiga,” tiub dan ‘pisau’ bertukar tangan. Aku terasa amat lega apabila ‘pisau’ itu bertukar ke tanganku.

Malangnya, semua harapan dan sangkaan ku musnah. Apa yang kusangkakan pisau adalah kepadal ‘pemutar skru’. Di tangannya sekarang masih ada pisau dan dia mendapat ‘ice’.

Celaka punya penagih! Dengus hati kecilku. Aku tertipu. Dia sebenarnya amat licik.

‘Pakar Psikiatri Tiba’

Rahman menyalakan alat sedut yang ada bersamanya lalu menghisap ‘Ice’. ‘Ice’ adalah nama lain bagi ‘ecstacy’ ataupun nama sebenarnya methemphetamine.

Tidak lama selepas itu, pakar psikiatri yang ditunggu, Dato’ Dr Aziz tiba bersama Ketua Jabatan Psikiatri, Dr Salina. Dato’ Dr Aziz tidak membuang masa dan terus mula berbicara dengan Rahman.

“Rahman, mari, buka tingkap ni. Haa..saya nak tengok awak. Kata Dato’ Aziz. Dia mula menyelak tingkap Nako. Tindakannya itu disambut dengan kemarahan Rahman. Dari dalam dia menjerit, “Aku tikam dia! Aku tikam dia!”

Aku cuba menenangkan Rahman. “Rahmann…ingat adik kita ya.Ingat Allah. Tadi Rahman baru saja cakap dengan kakak, dengan Mak kan? Rahman relaks. “ Ketika ini, darah menyirap kerana aku amat khuatir Rahman mula bertindak agresif. Untuk seketika Rahman kembali tenang.

Dato’ Aziz terus berdialog. “Rahmann…saya nak tengok awak. Doktor nak tengok. Awak buka tingkap, biar cahaya matahari masuk ya.” Dato’ Aziz menguak tingkap lebih besar. Rahman kembali agresif dengan hujung pisau di perut kanak-kanak tersebut.

Suasana menjadi tegang. Dato’ Aziz terus berdialog sambil mengulang, “Rahman..haish..saya nak tengok awak ni. Nanti semua ok.” Rahman seakan menggila. Dalam keadaan sebegitu, Dr Salina berbisik ke telingaku, “He seems to listen to you. Perhaps you should talk with him.”

Walaupun keadaan tegang, padaku Dato’ Aziz berjaya membuatkan tingkap kini terbuka. Ini satu perkembangan yang baik. Cuma masalahnya, Rahman menyembunyikan diri di bawah paras tingkap menyebabkan penembak tepat tidak mendapat sasaran. Tambahan pula, budak perempuan itu sentiasa dipegang rapat di sisinya.

Polis bersedia di luar tingkap. Seorang dari mereka membawa ‘Taser Gun’. Senjata ini boleh memberi kejutan elektrik hingga sasaran menjadi lumpuh seketika tetapi tidak akan membunuh. Masalahnya, terdapat risiko kerana halangan dinding tidak membolehkan hujung kail tidak dapat dipastikan kena pada penculik.

“Jangan Tembak dia,” Dato’ Aziz berpesan kepada polis yang bersedia dengan pistol.

‘Doktor Akan Bertanggungjawab’

Anggota polis sekali lagi menghampiri kami. Dato’ Aziz tidak mahu Rahman ditembak. Dia mahu meneruskan berdialog dengan Rahman. Pihak polis semakin sukar menahan sabar kerana drama culik ini sudah hampir 6 jam berterusan, Jika berlarutan ke malam, tidak mungkin penembak sasaran dapat menembak penculik.

“Kalau apa-apa berlaku, doktor akan bertanggungjawab. Keadaan bahaya. Kalau doktor tak mahu kami tembak, kalau budak tu mati, doktor akan bertanggungjawab, “ kali ini tegas kata-kata polis.

Sejujurnya, aku sendiri tidak lagi dapat menahan sabar walaupun Rahman kini seolah-olah sudah menjadi sahabatku sendiri kerana sudah lama aku berdialog secara baik dengannya. Padaku, apapun, nyawa budak perempuan tersebut adalah segala-galanya.

Rahman kelihatan duduk di atas katil tetapi pada setiap ketika, hujung pisau diletakkan di perut budak tersebut. Budak perempuan tersebut kelihatan tenang. Rahman tidak berbaju. Tetapi aku dapat melihat kini yang dia sebenarnya berseluar jeans.

‘Mencari Ruang Tembakan’

Inspektor Rahim berbisik kepadaku, “Doktor, kalau doktor dapat leraikan dia dan budak tu, kami dah bersedia untuk menembak.”

Aku mengangguk dan berkata, “Ok saya cuba.” Mereka bersedia di posisi masing-masing.

Aku mula bersuara, “Rahman, hari dah petang ni. Tentu Rahman penat” Rahman memandang ke arahku. Mulutnya seakan senyum seolah-olah berjumpa kawan lama.

“Ya doktor. Sudah lama ni. Panas di sini” Rahman seperti berjumpa kawan lama apabila dia memandangku dan dia tidak sedar, bila dia leka bercakap denganku tangan kanannya yang memegang pisau diangkat ke atas seketika, menjauhi perut budak tersebut dan pada saat ini kedengaran empat das tembakan. ‘Dam, dam, dam, dam!’ Serentak dengan itu, polis merempuh masuk bilik tersebut.
Rahman terkujur baring di lantai dengan darah berlumuran.

Polis segera mendukung budak tersebut lalu di bawa keluar dari bilik tersebut ke ambulans. Budak itu lantas dibawa ke hospital. Di luar rumah, 2 ambulans sudah lama bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Aku masuk ke dalam bilik tersebut. Rahman dialih tubuhnya. Bersama anggota polis yang lain, dia kami angkat ke atas stretcher ambulans lalu dinaikkan segera ke ambulans. Rahman pengsan dan tidak bernafas. Siren ambulans dibunyikan.

Aku perhatikan sangat ramai orang di luar rumah. Seakan satu episod drama. Terdapat wartawan serta kamera video stesyen televisyen.

‘Resusitasi’

Di dalam ambulans, CPR dibuat berterusan ke atas Rahman. Darah dilihat mengalir di bawah tubuh. Tidak lama kemudiaan, kami tiba di zon resusitasi Jabatan Kecemasan. Dalam perjalanan, aku siap menghubungi Doktor di zon resusitasi untuk bersedia dengan pesakit ini.

Apabila sampai, resusitasi diteruskan. Tiub pernafasan dimasukkan sementara CPR diteruskan. Darah ‘O’ dimasukkan. 4 kesan tembakan kulihat ada di dada dan perut Rahman.

Di sebelah bilik resusitasi di mana resusitasi dijalankan untuk Rahman, mangsa culik ditempatkan di situ. Budak perempuan itu dirujuk kepada pakar psikiatri kerana dibimbangkan dia akan mendapat gejala ‘post-traumatic stress disorder’ yang mana kesan psikologi boleh menyebabkan dia mengalami mimpi buruk, murung dan sebagainya.

Satu zon resusitasi. Dua bilik sebelah menyebelah. Di satu bilik adalah penculik yang hampir mati. Di bilik sebelah adalah mangsa tebusan. Sekurang-kurangnya budak itu tidak ada sebarang kecederaan.

Setelah berhempas pulas cuba menyelamatkan Rahman, kami akhirnya akur bahawa dia tidak dapat diselamatkan. Semua usaha dihentikan dan Rahman disahkan mati. Rahman tahu kemungkinan ini dari awal dan padanlah dia menelefon kakak dan ibunya meminta maaf. Dia dibawa ke bilik mayat untuk siastan forensik serta bedah siasat.

Drama penculikan berakhir dengan penculik mati dan mangsa selamat.

‘Setenang Tasik’

Setelah semuanya selesai, seorang anggota polis menemuiku dan bertanya, “Doktor, doktor ada berkursus untuk berunding dengan penculik di mana-mana ke?”

Aku menggelengkan kepala. “Tak pernah tuan. Saya taram saja. Saya cuma takut kalau budak tu kena tikam. Nanti saya tak boleh tidur lena. Sebab tu saya tak tinggalkan dia tadi,” terangku kepadanya.

“Tapi cara doktor beruding tu betul. Kami dilatih untu berunding. Memang makan masa. Apa pun terima kasih kerana membantu,” dia tersenyum. Aku tidak tahu sama ada apa yang aku lakukan adalah tindakan yang betul atau tidak. Aku amat bersyukur budak itu selamat tidak kiralah apa caranya. Dia memohon diri kerana perlu membuat laporan seterusnya. Aku pula membuat panggilan telefon kepada Ketua Jabatan dan Pengarah hospital lalu memaklumkan kesudahan insiden ini.

Satu perkara yang pelik mengisi kotak fikiranku. Sepanjang insiden tersebut, budak tersebut tidak langsung menangis. Dia amat tenang.

Baru aku teringat. Dia telah minum air berisi ‘midazolam’ yang pada asalnya adalah cubaan untuk membuatkan penculik lali atau tidur. Sebaliknya budak tersebut yang telah minum air tersebut menjadi ‘tenang’ setenang tasik yang tidak berangin. Bagus juga. Tidaklah dia terlalu traumatik.

‘Pulang ke Rumah’

Aku pulang ke rumah dan tiba hampir Maghrib. Setelah selesai solat, aku memasang televisyen. Segmen berita bersiaran ke udara. Di stesen TV terpampang suasana di luar rumah dengan ramainya orang yang berhimpun. Pembaca berita menceritakan tentang insiden ‘drama penculikan’ yang berlangsung beberapa jam.

Pada akhir berita, ditunjukkan suasana ketika budak perempuan itu di bawa keluar diikuti oleh Rahman. Setelah kedua-dua ambulans meninggalkan rumah ke hospital, mereka yang berhimpun di sekeliling rumah kelihatan bertepuk tangan. Seolah-olah drama tebusan ini adalah satu episod TV realiti yang tiba di penghujung cerita.

Malam itu, aku dapat tidur lena.

Nota :nama suspek dan yang berkaitan ditukar bagi melindungi identiti sebenar” Kredit:- Alzamani Mohammad Idrose

P.S. 1 – Isteri Hairan Suami Tidak Mahu Bergambar Bersama… Rupa-Rupanya Segalanya Terbongkar Apabila Isteri Terlihat…
P.S. 2 – Doktor Ini DEDAHKAN RAHSIA Untuk Cepat Hamil Yang Ramai Pasangan Terlepas Pandang !!!
P.S. 3 – Ramai TERPANA Melihat Gadis Cantik Ini…Namun, Anda Pasti TERKEJUT Lihat Dimana Dia Tinggal !!!
P.S. 4 – TERLOPONG Mamak Tu Bila Aku Cakap “Tolong Buang Botol Yang Kat Atas Tu Dan Perempuan Tu Sekali” !!!
P.S. 5 – 4 Tahun Suami Tak Bekerja. Namun Boleh Sara Keluarga Dan Rumah Mewah, Rupa-Rupanya Ini KERJA Suami !!!

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , ,

Category: Tempatan

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *